lagu

Friday 6 March 2015

Guru Sebagai Pengamal Refleksi

Prosiding Seminar Penyelidikan Tindakan tahun 2005

PENYELIDIKAN TINDAKAN: PERKEMBANGAN PROFESIONALISME
KE ARAH PENGAMALAN REFLEKTIF
DAN PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH

Oleh

Dr. Toh Wah Seng
Maktab Perguruan Batu Lintang,
93250 Kuching, Sarawak.

Abstrak

Profesion keguruan pada masa kini semakin mencabar dan kerelevansinya semakin dipersoalkan. Kurikulum dan pedagogi perlu berubah dan sekolah sentiasa perlu cari jalan untuk meningkatkan prestasi murid dalam pelbagai aspek. Selain faktor sosio-ekonomi, kualiti guru dan kualiti sekolah juga berkait rapat dengan prestasi murid. Kualiti guru menyumbang kepada kualiti sekolah dan ia adalah satu faktor yang boleh dubah melalui program-program perkembangan profesionalisme. Penyelidikan tindakan boleh diguna pakai sebagai satu pendekatan untuk perkembangan profesional yang dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti amalan guru dan justeru itu, penambahbaikan sekolah. Penyelidikan tindakan melibatkan pengamalan reflektif yang sistematik dan berstruktur dan proses ini hendaklah berterusan secara “cyclical“ dengan tujuan menambah baik amalan. Kemahiran menjalankan penyelidikan tindakan sangat berguna untuk guru memperkembangkan profesionalisme secara kendiri dan secara beransur maju ke arah menjadi seorang pengamal reflektif. Model penyelidikan tindakan yang beransur maju supaya mudah dilaksanakan oleh guru adalah dicadangkan supaya membolehkan guru mengamalnya dalam bilik darjah dan di sekolah.

PENGENALAN

Profesion keguruan semakin mencabar. Perubahan sentiasa berlaku dan pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh guru dan pengurus sekolah. Guru perlu melaksanakan kurikulum yang telah disemak semula untuk menangani isu kerelevansinya dengan globalisasi dan kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi. Guru tertekan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat supaya dapat menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Perubahan bahasa penghantar daripada Bahasa Kebangsaan kepada Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik menambahkan tekanan ke atas guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Di sekolah desa, guru menghadapi cabaran dari segi kekangan fizikal dan iklim sosio-ekonomi yang kurang mendorong aspirasi masyarakat tempatan untuk mencapai tinggi dalam pendidikan. Setiap tahun, guru dan pengurus sekolah tertekan untuk menghasilkan keputusan yang baik dalam peperiksaan awam. Di sekolah bandar, guru juga menghadapi tekanan daripada komuniti untuk menambah baik prestasi murid dalam aspek-aspek lain.

Prestasi dan pencapaian murid merupakan satu cabaran utama yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di komuniti sosio-ekonomi rendah, khususnya sekolah-sekolah pedalaman. Latar belakang sosio-ekonomi murid merupakan faktor yang berkait rapat dengan pencapaian murid dalam peperiksaan awam. Faktor ini memang sangat sukar untuk dikawal kecuali taraf sosio-ekonomi komuniti tempatan dapat dipertingkatkan melalui program pembangunan ekonomi tempatan. Di peringkat kementerian, pelbagai skim bantuan murid diadakan untuk mengurangkan kesan sosio-ekonomi. Di peringkat sekolah, kualiti sekolah terdiri daripada pelbagai faktor. Faktor fizikal seperti kualiti infrastruktur dan kemudahan adalah faktor yang kurang dapat dikawal oleh sekolah. Kualiti guru adalah faktor utama yang menentukan pembelajaran dan secara deduksi, ia adalah faktor yang dapat mengubah kualiti sekolah. Ia juga satu faktor yang boleh diubah.

Kualiti guru merujuk kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap guru. Sikap ialah faktor yang sukar dikawal. Ilmu dan kemahiran dapat diubah melalui program-program perkembangan profesionalisme. Konsep perkembangan profesionalisme harus dilihat sebagai satu proses pembelajaran yang dinamik dan yang menjurus kepada tahap pemahaman dan kesedaran yang baru tentang konteks di mana guru berkerja supaya membolehkan guru meneliti rutin kerja, amalan, danmatlamat serta mengambil tindakan untuk mengubahnya supaya menambah baik keadaan. Konsep ini memperlihatkan perkembangan profesionalisme sebagai satu proses dan bukan produk dan memegang kepada andaian bahawa guru boleh menjana ilmu sendiri, meneliti dan memahami amalan kendiri dengan tujuan menambah baik amalan. Guru menjadi seorang pengamal yang reflektif.

Satu pendekatan yang menepati konsep perkembangan profesionalisme tersebut ialah melalui amalan penyelidikan tindakan. Keistimewaan amalan penyelidikan tindakan ialah pendekatan ini merupakan satu pendekatan perkembangan profesionalisme yang boleh dilakukan sama ada secara kendiri atau secara berkolaborasi yang mana guru sentiasa membuat refleksi tentang kesan amalan dan tindakan beliau ke atas pendidikan kanak-kanak dan sentiasa merancang dan melaksanakan tindakan penambahbaikan di bilik darjah mahu pun di peringkat sekolah. Guru juga beransur maju ke arah menjadi seorang pengamal yang reflektif. Pengamalan reflektif mempunyai banyak kelebihan yang menyumbang kepada peningkatan amalan, menggalakkan inovasi, menambah ilmu dan memudahkan perubahan berlaku.

PENGAMALAN REFLEKTIF

Ide pengamal yang reflektif yang dicadangkan oleh Schon (1987) sangat mempengaruhi program-program pendidikan guru sejak tahun lapan puluhan. Ide ini telah menjadi satu isu yang popular dalam pendidikan guru. Ada penulisan yang melaporkan tentang kesan refleksi dalam mengubah dan mempertingkatkan amalan (contohnya, Bolin, 1988; Munby dan Russell, 1989). Ada juga yang telah melaporkan tentang penggunaan refleksi dalam program-program pendidikan guru (contohnya, Korthagen, 1988; Elbaz, 1988; Tabachnick & Zeichner, 1991). Ramai penyelidik juga mencadangkan supaya refleksi menjadi satu amalan yang patut diadakan dalam program pendidikan guru (Zeichner, 1983; Copeland et al, 1993). Literatur tentang reflektiviti berhujah bahawa proses refleksi dapat bantu menutup jurang antara teori dan praktis, mengaitkan kepercayaan terdahulu dengan teori dan praktis, membina semula ilmu profesional daripada ilmu situational (Schon,1987; Calderhead, 1988; Wubbels, 1992; Fosnot, 1996). Beberapa kajian (Bolin, 1988 sebagai contohnya) juga telah mencadangkan bahawa reflektiviti dapat mempromosikan perubahan dan meningkatkan amalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pengamalan reflektif? Ia bukan setakat renungan tentang amalan sahaja. Refleksi memerlukan seseorang merenung tentang apa yang telah berlaku dan mempertimbangkan pelbagai dimensi perlakuan tersebut seperti faktor-faktor yang mempengaruhinya dan kesan-akibat perlakuan tersebut. Ia perlu membuat keputusan tentang pengubahsuaian atau penambahbaikan yang boleh dilakukan berikutan pelakuan tersebut. Maka pengamalan reflektif adalah sistematik dan berterusan yang melibatkan proses merancang, mengambil tindakan, menghurai dan membuat refleksi. Konsep refleksi dijelaskan oleh Schon yang mana reflection-in-action dan reflection-on-action merujuk kepada ide bahawa amalan profesional adalah berdasarkan pada knowing-in-action dan knowledge-in-action yang diperolehi melalui proses konstruktivisme yang berasaskan pada pengalaman profesional. Mengikut van Manen (1977), refleksi dapat dikategorikan kepada tiga jenis yang berhirarki, iaitu refleksi teknikal, refleksi praktikal dan refleksi kritikal.

Jenis refleksi pertama adalah refleksi teknikal yang melibatkan penelitian tentang keberkesanan sesuatu amalan atau tindakan dalam mencapai objektifnya. Guru-guru pelatih dan guru permulaan biasanya membuat refleksi pada peringkat ini kerana mereka masih baru dalam profesion keguruan dan kerisauan dan keprihatinan mereka masih tertumpu kepada efikasi diri. Oleh demikian, refleksi mereka tertumpu kepada perkara-perkara teknikal dalam bilik darjah seperti pengurusan bilik darjah dan teknik-teknik mengajar. Refleksi dan tindakan susulan mereka memberi fokus kepada penambahbaikkan kemahiran diri dalam pengurusan kelas dan pedagogi dan kesannya terhadap pembelajaran murid.
Jenis kedua ialah refleksi praktikal, dan ia meneliti bukan sahaja keberkesanan amalan atau tindakan tetapi juga objektif dan kandungannya. Andaian-andaian tentang sesuatu objektif atau hasil pembelajaran yang sebenar diteliti dan dipersoalkan dari segi kesesuaian dan kerelevanannya dengan konteks dan persekitaran pelajar dan komuniti. Umpamanya, objektif dan kandungan pelajaran yang direka mungkin sesuai untuk pelajar bandar tetapi kurang sesuai dengan konteks pelajar di sekolah desa. Maka, refleksi di peringkat praktikal memberi fokus bukan sahaja kepada hasil tindakan guru tetapi juga mengambil kira realiti konteks dan persekitaran pelajar dan sekolah.

Refleksi jenis ketiga ialah refleksi kritikal. Ia merangkumi peringkat pertama dan kedua dan juga mempertimbangkan isu-isu etikal, moral, dan keadilan tentang amalan atau tindakan, objektif dan hasilan atau kesannya. Contohnya, di peringkat ini, guru bukan sahaja mempersoalkan kesan dan implikasi tindakan dari segi kesesuaian dan kerelevanannya tetapi juga meneliti kesan dan implikasi tindakan dari segi isu-isu moral, etikal dan keadilan. Umpamanya, guru meneliti sejauh manakah amalan beliau memastikan ekuiti dan keadilan terjamin. Adakah amalan guru memberi manfaat kepada semua murid dan bukan hanya kepada kumpulan murid yang tertentu sahaja? Sejauh manakah amalan guru bukan sahaja dapat mencapai matlamat prestasi baik dalam peperiksaan tetapi juga mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari segi menghasilkan insan yang harmonis, menyeluruh dan berketerampilan? Sejauh manakah amalan guru hanya mengutamakan kandungan mata pelajaran dan menghambatkan perkembangan kemahiran berfikir dan kemahiran generik murid?

PENYELIDIKAN TINDAKAN DAN PENGAMALAN REFLEKTIF

Pengamalan reflektif dan penyelidikan tindakan adalah saling berkaitan. Pengamalan reflektif digunakan untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah melalui proses inkuiri kritikal dan disusuli dengan refleksi (Cordingley, 1999; McMahon, 1999). Penyelidikan tindakan merupakan satu bentuk pengamalan reflektif tetapi ia melibatkan satu proses yang sistematik, kritikal, dan berterusan di mana tindakan yang terancang adalah berdasarkan prosedur-prosedur penyelidikan. Ia juga menekankan kolaborasi, participatory dan perkongsian ilmu. Perbezaan antara pengamalan reflektif dan penyelidikan tindakan ialah penyelidikan tindakan melibatkan fasa pengumpulan dan penganalisisan data yang tertentu sedangkan ini tidak semestinya dilakukan dalam pengamalan reflektif. Penyelidikan tindakan adalah pengamalan reflektif yang berstruktur.

Amalan penyelidikan tindakan boleh dikategorikan mengikut jenis refleksi. Penyelidikan tindakan di peringkat refleksi teknikal bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme guru dari segi situasi-situasi pengajaran dan pembelajaran. Dalam penyelidikan tindakan teknikal, perkembangannya bermula dari andaian-andaian yang sedia ada dan struktur-struktur kurikulum sedia ada tidak dipersoalkan. Contohnya, guru menyelidik tentang kesan kandungan dan kaedah mengajar yang disarankan oleh kurikulum ke atas pencapaian murid tanpa mempersoalkan sejauh manakah kandungan dan kaedah tersebut sesuai dan relevan dengan situasi dan konteks pembelajaran berlaku.

Penyelidikan tindakan di peringkat refleksi praktikal biasanya dikendalikan oleh sesuatu kumpulan dan ahli-ahli kumpulan meneliti amalan-amalan baru dan sejauh manakah amalan-amalan ini sesuai dan relevan dengan konteks pelajar dan keperluan komuniti serta menepati nilai-nilai tertentu. Andaian-andaian yang sedia ada dan struktur kurikulum sedia ada dipersoalkan dari segi kerelevanannya dan nilai-nilai tertentu. Dalam konteks sistem pendidikan berpusat, ini mungkin agak terhad tetapi masih relevan. Guru-guru secara berkolaborasi menyelidik kerelevanan dan kesesuaian kurikulum dengan konteks dan persekitaran persekolahan dan mengambil tindakan secara kolaborasi untuk mengubahsuai bahan dan kaedah tanpa menolak-ansur pencapaian objektif yang tersurat dalam dokumen kurikulum.

Penyelidikan tindakan di peringkat refleksi kritikal juga melibatkan sesuatu kumpulan dan nilai-nilai amalan atau tindakan diteliti dari segi kesan menyeluruh, secara sosial mahu pun secara global. Amalan-amalan dipersoalkan dari segi ekuiti, keadilan, dan etika. Di peringkat ini, penyelidikan tindakan bertujuan untuk memberi emancipation dan empowerment kepada pengamal di mana pengamal dapat membuat perubahan di peringkat dasar dan sistem demi menambah baik proses pendidikan secara menyeluruh atau global. Contohnya, di peringkat sekolah, penyelidikan tindakan boleh dijalankan secara berkolaborasi dan juga penglibatan semua guru untuk mengubah dasar dan sistem pelaksanaan kurikulum supaya memberi ekuiti dan keadilan kepada semua golongan pelajar demi menambah baik pencapaian murid dalam pelbagai aspek.

PENYELIDIKAN TINDAKAN DAN PERKEMBANGAN PROFESIONALISME

Perkembangan profesionalisme merupakan satu usaha ke arah meningkatkan keberkesanan amalan guru demi menambah baik sekolah dan komuniti. Model perkembangan profesionalisme yang tradisional seperti bengkel dan kursus biasanya adalah top down dan ilmu adalah daripada luar. Model ini kurang berkesan kerana tindakan susulan biasanya kurang ditekankan dan amalan yangdisarankan mungkin kurang sesuai atau relevan dalam konteks kerja guru. Kursus diadakan dan sejauh manakah guru melaksanakannya di kelas kurang diberi perhatian. Di sekolah dan bilik darjah, guru kurang mendapat sokongan daripada pihak yang mentadbirkan latihan atau kursus berkaitan dan konteks sekolah mungkin kurang menyokong pelaksanaan amalan baru yang dipelajari daripada kursus.

Di sebaliknya, perkembangan profesional melalui penyelidikan tindakan adalah berlandaskan konsep empowerment, berdikari dan berterusan di mana ilmu adalah bottom up dan hasil daripada amalan guru. Guru didedahkan kepada kemahiran penyelidikan tindakan dan menggunakannya sebagai satu alat untuk menambah baik amalan melalui inkuiri, refleksi dan tindakan. Gurulah yang menentukan aspek dan amalan yang ingin atau perlu dikaji dan ditambah baik. Ia membolehkan guru berkolaborasi secara berkumpulan dan memberi peluang untuk membuat refleksi dan mengumpul data tentang keadaan-keadaan yang berkaitan secara langsung dengan keperluan-keperluan guru. Penyelidikan tindakan sebagai satu model perkembangan profesionalisme berfokus kepada masalah atau isu-isu seharian yang dihadapi oleh guru dan bukan kepada masalah atau isu-isu teoretikal seperti yang dikenal pasti oleh para penyelidik di universiti. Ini memberi kebebasan yang luas kepada guru dan ilmu adalah terbina daripada teori dan amali yang sebenar dalam konteks kerja.

Kebebasan guru menentukan aspek atau amalan untuk ditambah baik tidak bermaksud teori-teori yang sedia ada diketepikan dan guru merancang tindakan tanpa merujuk kepada teori. Ini adalah berbahaya kerana ia mungkin memperkukuhkan amalan-amalan yang kurang tepat dan kurang munasabah serta mungkin memudaratkan perkembangan murid dalam aspek sosio-psikologi. Contohnya guru menggunakan kaedah latih tubi secara berleluasan untuk melatih murid kemahiran menjawab soalan ujian tanpa memikirkan implikasinya terhadap perkembangan kemahiran kognitif dan sahsiah murid. Oleh demikian, teori-teori sedia ada adalah penting kerana teori tersebut dibina melalui bukti-bukti empirikal yang kukuh. Guru perlu merujuk kepada teori dan meneliti amalan diri serta membanding beza amalan diri dengan teori sedia ada untuk mengkaji jurang antara teori dan amali dan kesannya ke atas pembelajaran murid. Teori sedia ada mungkin dioperasikan melalui pendekatan dan metodologi yang unggul dan sesuai dengan konteks kerja guru tanpa megenepikan teori.

Perkembangan profesionalisme melalui penyelidikan tindakan boleh dilaksanakan secara individu atau secara berkolaborasi. Kemmis dan McTaggart (2000) mengenal pasti dua jenis penyelidikan tindakan yang boleh diamalkan oleh para pendidik. Yang pertama ialah penyelidikan tindakan bilik darjah di mana fokus adalah pada penyiasatan tentang amalan guru di bilik darjah ke arah memahami diri demi menambah baik amalan. Ini adalah di peringkat individu. Jenis kedua adalah kolaboratif dan participatory dengan penglibatan komuniti guru. Kedua-dua jenis penyelidikan tindakan ini adalah sesuai untuk sekolah kerana ia mengalakkan pendekatan dan kaedah yang demokratik dan fleksibel, memangkinkan perubahan amalan yang berdasarkan ilmu pribumi dan menerapkan nilai-nilai seperti menghormati orang lain, sikap yang terbuka dan pembelajaran yang berterusan.

MODEL PENYELIDIKAN TINDAKAN UNTUK GURU

Penyelidikan tindakan jelas dapat dijadikan satu pendekatan perkembangan profesionalisme guru secara kendiri mahu pun secara kolaboratif ke arah pengamalan reflektif. Kemahiran menjalan penyelidikan tindakan adalah peralatan guru untuk perkembangan profesionalisme secara kendiri. Akan tetapi, usaha menjalankan penyelidikan di sekolah bukan mudah dilaksanakan kerana terdapat halangan dan kekangan-kekangan seperti kesukaran guru untuk mengubah amalan yang telah lama diperlazimkan, kekurangan kemahiran guru untuk mejalankan penyelidikan tindakan, kekurangan resos dan masa, serta kekurangan sokongan dan pengiktirafan oleh pihak atasan. Oleh demikian, satu model penyelidikan tindakan yang developmental adalah lebih sesuai (Toh, 2004). Model ini mengambil kira kekangan tersebut dan berasaskan pada teori perkembangan guru yang menekankan kepada proses perkembangan yang beransur-maju. Jadual 1 mempamerkan model ini dalam bentuk matriks aspek kemahiran penyelidikan tindakan dan peringkat perkembangan latihan.

Model ini menampakkan tiga fasa atau peringkat penyelidikan tindakan. Di fasa pertama (asas), guru hanya menumpu kepada aspek-aspek teknikal dalam bilik darjah. Teknik-teknik mengumpul maklumat dijadikan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran. Ia juga mudah dan hanya melibatkan maklumat-maklumat tentang keberkesanan amalan atau teknik mengajar guru. Maklumat yang ringkas mudah dianalisis dan tindakan mudah dirancang untuk sesi pelajaran yang seterusnya berdasarkan data ringkas ini. Guru di peringkat ini banyak terlibat dalam refleksi teknikal sahaja kerana fokus adalah kepada aspek-aspek teknikal sahaja. Keperluan untuk membuat laporan formal tidak diperlukan dan laporan dalam bentuk huraian pengalaman boleh dikongsikan melaluiperbincangan dengan rakan atau di sidang perkongsian pengalaman di peringkat sekolah atau daerah.

Jika guru telah yakin dan selesa di peringkat asas dan juga dapat melihat kelebihan penyelidikan tindakan, maka beliau mula beransur maju ke peringkat kedua dan ketiga di mana beliau boleh menambah baik kemahirannya ke peringkat yang lebih tinggi. Di peringkat ini model penyelidikan tindakan yang berpusingan (cyclical) dapat dilaksanakan mengikut keperluan guru dan sekolah. Unsur kolaborasi dan kerja berpasukan dapat diperkenalkan. Fokus penyelidikan tidak lagi kepada maklum balas murid tentang pembelajaran tetapi lebih luas lagi dan melibatkan pengumpulan data yang memerlukan teknik-teknik yang lebih ketat dari segi kebolehpercayaan dan kesahan. Peluang untuk berkongsi dapatan dan berkonferensi diadakan supaya guru-guru dapat membina grounded theory tentang amalan pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum sekolah.

RUMUSAN

Pengamalan reflektif dapat menambah baik amalan serta menambah baik sekolah. Menjadi seorang pengamal reflektif bukannya sukar tetapi memerlukan usaha yang bersistematik dan berstruktur. Amalan penyelidikan tindakan merupakan satu pendekatan perkembangan profesionalisme yang boleh mencapai matlamat ini. Akan tetapi keadaan dan persekitaran kerja guru perlu dapat mendorong aktiviti penyelidikan tindakan di kalangan guru. Sokongan dan galakan daripada pihak pengurusan adalah penting untuk mewujudkan persekitaran kerja yang dapat mendorong guru menjalankan penyelidikan tindakan. Guru perlu dilatih kemahiran-kemahiran menjalan penyelidikan tindakan secara beransur maju. Peluang dan ruang hendaklah diwujudkan untuk guru berkolaborasi, berkonferensi dan melaporkan dapatan dan hasil penambahbaikan. Usaha ini dijangka berkesan dengan andaian bahawa guru mempunyai keinginan untuk berkongsi dapatan dan berkonferensi diadakan supaya guru-guru dapat membina grounded theorytentang amalan pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum sekolah.

sumber daripada :
https://www.google.com.my/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=5&cad=rja&uact=8&ved=0CD8QFjAE&url=http%3A%2F%2Fwww.ipbl.edu.my%2Fportal%2Fpenyelidikan%2Fseminarpapers%2FSemAR2005%2F1%2520toh.pdf&ei=-2UEVYqIEIvbuQTAx4DQAg&usg=AFQjCNE4r3d7Hvgl--R2MPWVBTjXFOsu7g&sig2=FRzw0aU1Yp5gmahnUqW3mw&bvm=bv.88198703,d.c2E

No comments:

Post a Comment